Wilayah Pembangunan Iskandar (WPI)
Faedah besar rakyat
Oleh MOHD RAMZI SANNY
JOHOR BAHRU: Sultan Johor, Sultan Iskandar, yakin pelaksanaan pembangunan Wilayah Ekonomi Johor Selatan (SJER) akan berjaya dan memberi faedah besar kepada rakyat negeri ini.Baginda yang gembira dengan pelaksanaan WPI berharap ia akan memberi peluang kepada rakyat Johor mendapat faedah daripada pembangunan itu.“Saya berharap pembangunan SJER akan membuka peluang pada kita semua yang faedahnya dapat dinikmati seluruh rakyat negeri Johor.“Saya yakin pembangunan SJER akan berjaya dengan kerjasama dan muafakat semua pihak,” katanya.Baginda berterima kasih kepada kerajaan persekutuan yang memberi kerjasama dan sokongan kepada kerajaan negeri bagi membangunkan SJER.“Saya berterima kasih kepada kerajaan persekutuan. terutama sekali sahabat saya Datuk Dollah Badawi (Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi). Yang mana saya bukan kenal baru, dah berapa puluh tahun dah kenal,” katanya.Baginda bertitah pada majlis pelancaran SJER yang kini dikenali sebagai Wilayah Pembangunan Iskandar di Teluk Danga di sini, semalam.Hadir sama pada majlis itu ialah Sultanah Johor, Sultanah Zanariah; Tunku Mahkota Johor, Tunku Ibrahim Ismail; isteri Tunku Mahkota Johor, Raja Zarith Sofia; Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi; Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman, meteri kabinet dan exco kerajaan negeri.Selepas menyempurnakan titah pelancaran, Sultan Johor meletakkan kapsul masa mengandungi keratan akhbar, buku cenderamata dan kad jemputan pelancaran WPI di Simbol Ikonik. Kapsul itu akan dibuka semula pada 2025 iaitu tahun sasaran SJER lengkap dibangunkan.Abdullah kemudian secara rasmi menyerahkan pelan pembangunan komprehensif SJER kepada Abdul Ghani.Terdahulu dalam ucapannya, Abdullah yakin projek SJER akan memberi lonjakan pembangunan untuk menjadikan wilayah Johor Selatan sebagai satu lagi metropolis negara bertaraf dunia selepas Kuala Lumpur.“Johor berpotensi menjadi destinasi pilihan antarabangsa bagi pelabur, peniaga, cendekiawan dan ramai lagi.“Pada ketika itu nanti kita akan berbangga untuk melihat Johor Selatan berfungsi sebagai hub ketamadunan Asia,” katanya.Dengan kewujudan SJER, dijangka 800,000 peluang pekerjaan akan diwujudkan dalam tempoh 20 tahun dan pendapatan per kapita rakyat Johor ditingkatkan lebih sekali ganda.SJER yang dicetuskan Perdana Menteri ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-9 (RMK-9) meliputi wilayah ekonomi seluas 221,634 hektar yang merentasi bandar raya ini, Kawasan Perindustrian Pasir Gudang di sebelah timur, Kulai di utara dan Mukim Serkat, Pontian di sebelah barat.Kawasan itu membabitkan pentadbiran lima pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB), Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT), Pihak Berkuasa Tempatan Pasir Gudang (PBTPG); Majlis Perbandaran Kulai (MPKu) dan Majlis Daerah Pontian.Mengikut perancangan SJER, kawasan Senai dan Skudai akan dijadikan hab logistik, manakala bandar raya ini sebagai Daerah Pembangunan Sentral (CBD); Pasir Gudang sebagai hab industri oleo-kimia, manakala Nusajaya sebagai Pusat Pentadbiran Baru Kerajaan Johor.